Maafkan Aku -01-

•July 5, 2009 • 1 Comment

Seperti biasa kelas tingkatan 4SC 1 bising dengan ketiadaan guru yang mengajar ataupun menyelia kelas tersebut. Kebanyakkan pelajar lebih senang bersembang bersama dan mendengar lagu di telefon masing-masing daripada menghadap buku teks. Setelah hampir seharian belajar, inilah masa bagi pelajar-pelajar aliran sains menyejukan otak masing-masing. Namun, aktiviti melegakan otak ini tidak lama.

“Wei korang, cikgu dah datang!” jerit Arif dan sepantas yang mungkin, semua pelajar berlari ke tempat masing-masing. Ada yang sempat mengeluarkan buku latihan bahasa Melayu, ada yang terkocoh-kocoh mengemas meja yang bersepah dan menutup telefon. Tidak lama kemudian, Puan Salmi muncul bersama seorang pelajar perempuan. Sebilangan pelajar tingkatan 4SC1 memandang ke arah pelajar di sisi guru bahasa Melayu mereka dengan penuh minat.

“Semua bangun!” arahan yang dikeluarkan oleh Syahrul itu mengejutkan pelajar-pelajar yang leka dengan penduduk baru kelas aliran sains itu. “Assalamualaikum cikgu!” seperti biasa, semua pelajar memberi salam. Puan Salmi menjawab salam tersebut dan seraya itu dia mengangguk. Kesemua peajar duduk. Mereka semua faham dengan anggukan yang di beri setelah hampir dua tahun belajar bahasa Melayu bersama-sama guru yang kecil molek itu.

“Sebelum kita mula belajar hari ni, cikgu nak perkenalkan dengan seorang pelajar baru,” Puan Salmi menunjuk kepada pelajar perempuan yang berdiri di sisinya. Kesemua tiga puluh pasang mata memandang ke arah peajar yang bertudung litup di sisi Puan Salmi. “Perkenalkan Amylea Nadya. Dia baru pindah dari Johor Bahru sebab ayahnya berpindah balik ke sini atas urusan kerja” terang Cikgu Salmi.

Sebaik sahaja mendengar nama yang di rinduinya itu, Amri memandang Amylea Nadya tanpa berkelip. Tadinya, dia hanya memandang dengan sekali imbas sahaja tanpa betul-betul menatap wajah pelajar tersebut. Ya, tidak salah lagi, inilah Amylea Nadya yang pernah menjadi teman sepermainannya yang sama-sama membesar di bandar Kerteh. Amylea Nadya berpindah ke Johor Bahru apabila bapanya dinaikkan pangkat empat tahun lalu dan semenjak itu, Amri tidak mendengar sebarang berita daripada Amylea. Hanya utusan salam sahaja yang dia dapat. Itu pun daripada perbualan ibunya dan ibu Amylea.

“Hmm… Farzana, tempat sebelah awak tu memang tak ada orang kan? Boleh Amylea duduk sebelah awak?” Pertanyaan Cikgu Salmi itu mengembalikan Amri ke dunia nyata. Pandangan Amri beralih ke tempat kosong di sebelah Farzana. Farzana, pelajar yang sentiasa happy-go-lucky itu mengangguk, mengiakan soalan Cikgu Salmi.
“Amylea awak boleh duduk sebelah Farzana” beritahu Cikgu Salmi sambil menunjukan kearah tempat duduk yang di sebutkan.

Amri memerhatikan langkah Amylea sehingga ke tempat duduk yang berada sebaris dengan barisannya tetapi berada di hujung kelas. Ketika melabuhkan punggungnya, pandangan mata Amylea bertembung dengan Amri. Amri menghadiahkan sebuah senyuman kepada sahabat lamanya. Amylea membalas senyuman itu dengan riak wajah yang terkejut. Sungguh dia tidak sangka akan berjumpa kembali dengan Amri.

“Cikgu harap kamu semua boleh tolong Amylea menyesuaikan dirinya di sini. Dan, Hasrul, jangan nak mula kacau orang ok?” Pertanyaan Cikgu Salmi itu mengundang gelak ketawa pelajar kelas 4SC1. Mana tidaknya, Hasrul sememangnya terkenal dengan sifatnya yang sentiasa selamba dan mengacau orang. Hasrul hanya mengangguk dengan senyuman bagaikan iklan Colgate menghias wajahnya.

“Dah… dah gelak tu. Mari belajar pulak. Kalau asyik gelak aja, nanti ilmu semua keluar. Ok?” Cikgu Salmi cuba meredakan gelak pelajar-pelajarnya. Cikgu Salmi mengambil kertas edaran yang telah di fotostat dan memberikan kepada pelajar-pelajarnya.

“Hari ni kita buat karangan berpandu. Cikgu nak karangan ni siap sebelum waktu rehat, boleh?” seperti biasa, karangan yang diberikan mestilah siap pada hari yang sama, kecuali dengan arahan tertentu. Pelajar-pelajar hanya mengangguk.

Kemudian kelas bahasa Melayu Cikgu Salmi berjalan seperti biasa. Kesemua pelajar termasuklah Amylea Nadya memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugasan yang telah diberikan. Kelas 4SC1 menjadi sunyi, yang kedengaran hanyalah deruan angin yang dihasilkan oleh empat buah kipas siling.

Hanya tinggal sepuluh minit lagi sebelum waktu rehat bermula tetapi sudah hampir semua pelajar menyiapkan karangan yang diberi. Cuma beberapa orang sahaja yang belum menyiapkan karangan termasuklah Amylea. Mungkin kerana belum terbiasa dengan jenis karangan yang diberikan oleh Cikgu Salmi. Cikgu Salmi sememangnya suka memberikan aras karangan yang lebih tinggi kepada pelajar-pelajar kelas hadapan. Namun, bagi mereka yang sudah biasa dengan guru itu, ianya tidak membawa sebarang masalah.

Dari hujung kelas, Amri asyik memerhati Amylea. Bilalah dia hendak menghantar karangannya? Gumam Amri sendirian. Dia sudahpun menghantar karangannya sebentar tadi, dan sekarang dia menunggu peluang untuk bercakap dengan kawannya itu.

Akhirnya, setelah lima minit berlalu, barulah Amylea menghantarkan karangannya kepada Puan Salmi. Setelah Amylea menghantar karangannya, Syahrul bangun dan memberikan arahan, “terima kasih, cikgu!” Semua pelajar mengikut arahan yang telah diberikan oleh ketua kelas itu. Seperti biasa, Cikgu Salmi hanya mengangguk sebelum beredar keluar kelas 4SC1.

Pelajar-pelajar 4SC1 turut sama keluar daripada kelas mereka untuk pergi ke kantin dan juga ke koperasi sekolah. Ada yang memilih untuk pergi makan di kawasan padang yang tidak jauh daripada kelas mereka. Namun Amri masih lagi berada di dalam kelas bersama-sama dengan Amylea yang sedang menunggu rakan barunya, Farzana.

“Ana, boleh kau pergi dulu tak? Aku nak cakap dengan Amy.”

“Aik? Dah ada nama manja dah? Belum berkenalan pun, kau dah bagi nama manja pada dia?”

“Ish kau ni. Dia ni kawan aku dulu la. Sebelum aku masuk sekolah menengah lagi…” terang Amri. Farzana hanya mengangguk sambil tersenyum. Kemudian, dia meninggalkan Amylea dan Amri berdua.

“So, bila awak baik sini? Kenapa awak tak beritahu saya yang awak dah balik sini?” tanya Amri.

“Dah seminggu pindah sini, Am. Saya tak tahu pulak awak masih berada di Kerteh” balas Amylea. Dia memberikan satu senyuman kepada Amri.

“Hmm… Sekarang tinggal dekat mana? Masih dekat rumah lama tu?”

“Tak. Ayah ada beli rumah baru di jalan Teratai. Kalau ada masa, ajaklah Uncle and Aunty datang rumah. Nanti Amy bagi alamat. By the way, Am masih tinggal di rumah tu kan?” Amri hanya mengangguk. “Oklah, nanti kita sembang lagi, ya? Amy nak pergi makan.”

“Jomlah, Am temankan.” Dan mereka berdua bersama-sama menuju ke arah kantin sekolah sambil berbual mengenai masa lalu.

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.